Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diberi penghargaan untuk turut serta dalam pembinaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) bersama tujuh lagi universiti awam dan swasta iaitu Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Kuala Lumpur.

MyHSR Corporation Sdn. Bhd. yang membangunkan projek HSR dan berjaya menarik penyertaan dari lima buah negara lain iaitu China, Korea Selatan, Jepun, Eropah dan Singapura telah mengumumkan kerjasama dan menandatangani perjanjian persefahaman dengan lapan universiti tersebut bagi membangunkan Akademi MyHSR dalam rangka usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi projek HSR tersebut.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib sewaktu ditemui selepas pertukaran dokumen perjanjian persefahaman tersebut menyatakan bahawa UTeM amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh MyHSR Corporation Sdn. Bhd. untuk menghasikan pakar berkemahiran tinggi dalam pembinaan HSR tersebut.

Tambah beliau lagi, ia merupakan satu penghormatan besar untuk melibatkan kepakaran universiti awam Malaysia dalam pembinaan HSR yang dijangka akan melonjakkan status Malaysia sebagai sebuah negara maju di samping memberi peluang pekerjaan kepada para graduan yang bakal menamatkan pengajian kelak.

Majlis pertukaran perjanjian persefahaman tersebut telah berlangsung pada minggu lalu bertempat di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.

Perjanjian persefahaman bagi akademi MyHSR tersebut turut melibatkan kerjasama dengan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuklah Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events: