Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UTeM, Academician Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, FAScUniversiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima lima orang Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) baharu bagi menggantikan ahli LPU terdahulu yang telah tamat tempoh lantikan bersama UTeM.

Pelantikan yang menurut kuasa diperuntukkan di bawah Seksyen 18 (1) Perlembagaan UTeM [P.U. (A) 470] dengan persetujuan Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi telah melantik seramai lima orang Ahli Lembaga Pengarah baharu untuk tempoh dua dan tiga tahun.

Datuk Wira Roslan Ibrahim yang merupakan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka telah dilantik berkuatkuasa pada 1 Mac 2018 sehingga 28 Februari 2021 bagi menggantikan Datuk Seri Haji Naim Abu Bakar yang telah tamat lantikan pada 28 Januari lalu.

Pelantikan Dato’ Prof. Dr. Mohd Ismail Abd Aziz yang turut merupakan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti berkuatkuasa pada 1 Mac 2018 sehingga 28 Februari 2021 bagi menggantikan Dato’ Amir bin Md. Noor yang telah tamat lantikan pada 22 April 2017 yang lalu.

Menurut Pengerusi LPU UTeM, Academician Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, FASc sewaktu diminta mengulas menyatakan bahawa pelantikan Ahli Lembaga Pengarah ini adalah bertujuan sebagai badan yang mengelola, membuat dasar dan mengawasi Universiti dan boleh menjalankan segala kuasa yang diberikan kepada universiti kecuali setakat yang kuasa itu diberikan oleh perlembagaan ini atau statut, kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan kepada Pihak Berkuasa, badan atau kepada pegawai lain Universiti.

Tambah beliau lagi, Ahli LPU turut berfungsi dan berkuasa dalam mengadakan perancangan pengawasan yang strategik yang bercirikan pendidikan dan misi universiti di samping menggalakkan pengurusan yang cekap dan berkesan dan mengadakan kajian semula yang menyeluruh mengenai operasi universiti.

 

“Ahli LPU haruslah turut membangunkan hubungan dengan masyarakat, sektor korporat dan industri dan dalam masa yang sama memupuk hubungan global dan keantarabangsaan berhubung dengan pelajaran tinggi”, uajr beliau lagi mengakhiri ulasannya.

Turut sama dilantik dalam barisan Ahli LPU yang terbaharu adalah Datuk Nik Airina Nik Jaaf yang merupakan Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan  Kumpulan, UEM Group Berhad bagi tempoh tiga tahun bermula dari 15 Februari 2018 sehingga 14 Februai 2021 menggantikan Datuk Ir. Baharam Mohd yang telah tamat lantikan pada 31 Disember 2016.

Prof. Dr. Mohd Ridzuan Nordin yang merupakan Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti) UTeM merupakan salah seorang yang turut dilantik memenuhi kerusi profesor universiti yang dipilih oleh Senat bagi menggantikan ahli terdahulu, Dato’ Dr. Mohd Nor Husain yang telah tamat lantikan pada 10 November 2017 lalu manakala Dr. Normas Awang yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan Malaysia menggantikan Kholiah Ismail bagi tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020.

LPU telah diwartakan di dalam Perlembagaan Universiti yang mana haruslah terdiri daripada Pengerusi yang dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Naib Canselor Universiti tersebut, dua orang pegawai daripada perkhidmatan awam, seorang yang mewakili masyarakat di tempat terletaknya universiti, seorang profesor universiti yang dipilih oleh Senat dan lima orang yang terdiri daripada tiga orang daripada sektor swasta, seorang daripada alumni universiti dan seorang lagi dari dalam atau luar universiti yang mana pada pendapat Menteri, mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang boleh membantu LPU.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events: