Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus berusaha menabur bakti dan menyantuni masyarakat dengan penglibatan dalam program kelolaan mereka iaitu Program Sukarelawan Muda dengan menggabungkan mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di Johor.

Program yang berlangsung bertempat di Pangsapuri Taman Mawar, Pasir Gudang minggu lalu telah memfokuskan para sukarelawan dalam membantu penduduk setempat membersihkan dan menceriakan kawasan rumah dan persekitaran, membaiki pendawaian rumah, mengecat kawasan perumahan, memperbaiki kerosakkan sedia ada disamping memberi pemeriksaan kesihatan percuma kepada warga pangsapuri.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Datuk Dr. Izaidin Abdul Majid sewaktu ditemui di pejabat beliau mengucapkan tahniah diatas kesepakatan mahasiswa IPT negeri Johor dan juga ribuan terima kasih kepada yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program sukarelawan muda tersebut.

Tambah beliau lagi, mahasiswa merupakan generasi baru yang bakal memimpin dan mewarisi negara dari generasi kini, harus bijak dalam mengambil langkah proaktif dalam membina perpaduan antara kaum disamping menerapkan nilai-nilai kebersihan dan penjagaan kesihatan”, ujar beliau.

“Mahasiswa yang terlibat juga berjaya mencapai matlamat penganjuran majlis iaitu memupuk kesedaran mahasiswa dan mahasiswi di samping komuniti setempat mengenai kepentingan menjaga, memelihara dan memulihara kebersihan yang bukan sahaja bertumpu kepada kawasan persekitaran, malahan pada kawasan perumahan  di samping memberi pendedahan terhadap kerja-kerja komuniti yang boleh disumbangkan kepada masyarakat”, tambah beliau lagi.

Program Sukarelawan Muda yang berlangsung ini merupakan program dengan kerjasama Negaraku yang mana turut dihadiri oleh Ikon Negaraku iaitu Asyraf Muslim dan Kaka Azraff bertujuan untuk menjalankan aktiviti sukarelawan bagi memupuk sikap prihatin dalam diri mahasiswa dan mahasiswi.

Program ini akan berterusan selama beberapa bulan dengan membawa semangat menyantuni komuniti dan masyarakat dan dijangka akan menyelurusi Pangsapuri Pasir Gudang dan Kampung Sungai Rinting bagi meneruskan misi sukarelawan mereka.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events: