Dengan tujuan untuk memberi peluang kepada mahasiswa untuk turut serta dalam semua aktiviti yang disusun dalam membentuk insaniah yang cemerlang seiring dengan pembangunan sahsiah dan akademik, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kembali dalam arena penganjuran Karnival FTMK buat kali ketiga bulan hadapan.

Karnival yang dijangka berlangsung pada 18 dan 19 April 2018 kelak merupakan program mega yang dianjurkan sepenuhnya oleh Persatuan Pelajar FTMK (FICTS) bagi mempromosikan semua aktiviti dan produk FTMK di peringkat universiti, negeri dan kebangsaan.

Karnival kali ini menyasarkan seramai 5,000 orang pengunjung yang terdiri daripada para mahasiswa dan staf universiti, pelajar sekolah serta masyarakat sekitar negeri Melaka untuk turut hadir bersama dalam pelbagai aktiviti yang bakal dianjurkan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Penganjuran kali ketiga ini membawakan tema “Smart and Sustain Together” seiring denganpemerkasaan ukhuwah sesama mahasiswa dan masyarakat setempat melalui kemajuan teknologi maklumat seiring dengan matlamat Industrial Revolution 4.0 (IR 4.0).

Menurut Pemangku Dekan FTMK, Prof. Dr. Mohammad Ishak Desa sewaktu diminta mengulas harapan beliau terhadap penganjuran karnival ini meletakkan harapan bahawa karnival ini dapat direalisasikan dengan jaya sekaligus memberi impak kepada seluruh mahasiswa khususnya warga FTMK, UTeM dan secara tidak langsung  mampu memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Tambah beliau lagi, tema yang diguna pakai bagi penganjuran kali ini menekankan kepada IR 4.0 berimpak dunia yang mana ia merupakan pembaharuan arus teknologi dalam memfokuskan perubahan daripada industri digital sedia ada kepada industri kepintaran buatan yang mengaplikasikan pengunaan data secara global dan pembuatan robot- robot bijak yang mampu bertindak seperti manusia dalam membuat keputusan.

“Karnival yang bakal tiba ini diharapkan akan menjadi suatu landasan terbaik untuk memperkenalkan para mahasiswa dan masyarakat setempat mengenai IR 4.0 agar lebih bersedia dalam menghadapinya”, ujar beliau lagi.

Program yang berlangsung selama dua hari ini bakal menyajikan 19 program menarik seperti Open IT, Journey to FTMK World, Gamethon dan pelbagai lagi program yang menarik dan bermanfaat untuk membuka minda warga FTMK dan UTeM akan kepentingan teknologi maklumat agar tidak ketinggalan dengan arus globalisasi semasa.

Turut tidak ketinggalan adalah slot Peace In Religion yang merupakan platform bagi membincangkan isu-isu keagamaan untuk mencari persefahaman dalam beragama dengan pelbagai kupasan isu untuk diterangkan bagi memberi pencerahan tentang hal-hal berkaitan yang akan membantu dalam memahami, menghormati dan memupuk sikap toleransi dalam beragama.

Turut mengambil tempat adalah Majlis Perasmian Karnival FTMK 2018 dan Malam Citra Warna yang akan diserikan dengan persembahan daripada para pelajar UTeM yang berbilang kaum menerusi konsep kebersamaan yang diraikan melalui pendekatan kebudayaan sebagai salah satu usaha bagi mengukuhkan hubungan sesama kaum.

Karnival FTMK 2018 kini dalam proses pengumpulan dana melalui penajaan oleh individu-individu dan syarikat-syarikat yang berminat dengan penawaran pelbagai pakej penajaan yang menarik. Bagi pihak yang berminat, individu-individu dan syarikat-syarikat boleh berhubung dengan Ketua Sekretariat Penajaan Karnival FTMK 2018 Nurul Najihah A’bas melalui talian 017- 229 7023.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events:

 

Copyright © 2018 UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All Rights Reserved.
Legal Disclaimer | Privacy & Security Policy | Copyright
L
ast Updated : 16 October 2018

027688782