Demi sebuah inisiatif dalam memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai kepimpinan dan kemahiran insaniah maka Kelab Fasilitator Sahabat Siswa (FaSaSi) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Program Jelajah ke Sekolah Mahasiswa Bersama Generasi Baru yang melibatkan sebanyak 3 buah sekolah pada hujung minggu lalu.

Seramai 65 orang fasilitator yang terdiri dari ahli kelab FaSaSi serta mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai fakulti UTeM telah menjayakan program tersebut dengan penglibatan dari sekolah Menengah Kebangsaan Selandar, Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Bendahara dan juga Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah.

65 orang fasilitator dibahagikan kepada 3 kumpulan bagi memudahkan urusan pelaksanaan program ke 3 buah sekolah berkenaan untuk membantu para pelajar memahami dan menguasai konsep kepimpinan serta kemahiran insaniah yang perlu ada dalam diri setiap pelajar.

Salah satu dari Kumpulan FaSaSi mengambil gambar kenangan bersama para peserta.
Salah satu dari Kumpulan FaSaSi mengambil gambar kenangan bersama para peserta.

Menurut Pengarah Program Jelajah ke Sekolah, Nur Zuhaili Abu Samah berkata program ini merupakan salah satu dari usaha mahasiswa dan mahasiswi UTeM untuk menyumbang kepada masyarakat setempat terutamanya kepada para pelajar bagi memastikan generasi akan datang mempunyai sikap kepimpinan yang mantap untuk memimpin kumpulan, masyarakat dan Negara.

Tambah beliau, program sehari ini ternyata berimpak besar lalu telah mendapat sambutan hebat dan menggalakkan lantas memberikan semangat kepada Kelab FaSaSi UTeM untuk meneruskan konsep dan agenda yang sama ke sekolah-sekolah lain pula sekitar Melaka pada masa akan datang.

Beliau turut melahirkan rasa bersyukur dan terima kasih kepada kesemua pihak yang terlibat dalam memberikan kerjasama yang hebat bagi menjayakan program tersebut.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events: