Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melakar kecemerlangan apabila menggondol empat anugerah utama dalam Majlis Anugerah Seni Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2017 yang berlangsung baru-baru ini di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Penilaian dan pengiktirafan oleh MAKUM ini berdasarkan kepada pencapaian kejayaan dan kecemerlangan oleh universiti-universiti Malaysia dalam pertandingan-pertandingan dan festival-festival yang dianjurkan di peringkat MAKUM sepanjang tahun 2017.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Prof. Datuk Dr. Izaidin Abdul Majid sewaktu ditemui di pejabat beliau mengucapkan tahniah di atas anugerah Majlis Anugerah Seni yang diterima oleh siswa dan kakitangan UTeM ini.

Tambah beliau, walaupun UTeM merupakan universiti yang memfokuskan kepada pendidikan teknikal, teknologi kejuruteraan dan pengurusan teknologi & teknousahawan, namun UTeM sentiasa  menyediakan peluang dan fasiliti kepada para mahasiswa dan mahasiswi yang berminat dengan seni budaya untuk meneruskan minat mereka dalam bidang tersebut sebagai aktiviti kokurikulum tambahan.

"UTeM turut tidak asing lagi dalam melahirkan pelajar yang turut menjurus kepada bidang seni di samping telah memenangi beberapa pertandingan yang berfokuskan kepada bidang seni seperti menjuarai pertandingan orkestra pada tahun 2010, juara sayembara puisi kemerdekaan peringkat Institusi Pengajian Tinggi Negeri Melaka 2017 di samping aktif terlibat dalam pertandingan pidato antarabangsa Piala Perdana Menteri dua tahun berturut-turut", ujar beliau lagi.

Kategori anugerah yang dimenangi oleh mahasiswa dan mahasiswi UTeM pada malam tersebut adalah Anugerah Kategori Bonang Emas Kategori Lelaki (Individu yang cemerlang dalam seni dan budaya) yang telah diraih oleh Mohd Azamuddin Alidari Fakulti Kejuruteraan Elektik (FKE), Anugerah Kategori Bonang Emas Kategori Wanita (Individu yang cemerlang dalam seni dan budaya) dimenangi oleh Nurdiyana Deris dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Anugerah Gambang Mustika (Persatuan Seni Terbaik) yang dianugerahkan kepada Kelab Kasawari UTeM yang mana penerima anugerah telah di wakili oleh Presiden Kasawari iaitu Muhammad Amirul Hakimi Ismail  dari FKE.

Pegawai Kebudayaan UTeM, Shahrulfadli Yahaya turut pulang dengan kemenangan apabila berjaya meraih Anugerah Gong Kencana di atas pencapaian beliau sebagai pegawai yang cemerlang dalam seni dan budaya sekaligus menempatkan UTeM di persada kecemerlangan seni dan kebudayaan.

MAKUM merupakan sebuah Majlis yang telah ditubuhkan di bawah Sekretariat Jawatankuasa Timbalan - Timbalan Naib Canselor / Timbalan Rektor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TTNC / TR HEPA) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bertujuan untuk menyelaras dan menggalakkan aktiviti - aktiviti berbentuk seni, budaya dan kreatif oleh para pelajar di IPTA seluruh Malaysia.

RESEARCH & INNOVATIONS

Explore Research and Innovation with UTeM

Read more

Enter your email address for UTeM Events:

 

Copyright © 2018 UTeM | Universiti Teknikal Malaysia Melaka. All Rights Reserved.
Legal Disclaimer | Privacy & Security Policy | Copyright
L
ast Updated : 16 October 2018

026964590