Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Bin Yaakob
 

Tun Mohd. Khalil ialah anak ketiga kepada Yaakob bin Awang Shukor dan Salmah binti Zainuddin. Beliau telah dilahirkan di Kuantan , Pahang pada 29 Disember 1937. Beliau baru berusia empat tahun ketika Jepun menjajah Malaya.

Tun Mohd. Khalil mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad Shah, Kuantan, Pahang. Oleh kerana kecemerlangan beliau dalam akademik, beliau telah ditawarkan tempat untuk belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak pada tahun 1950. Selepas menamatkan pengajian menengah, Mohd. Khalil meneruskan pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) pada 1962.

Semasa di universiti, selain menjadi Ahli Jawatankuasa untuk Majlis Perwakilan Pelajar, Mohd. Khalil juga menjadi Presiden Kesatuan Sukan, Ketua Pasukan kepada pasukan atlit dan mewakili universiti dalam sukan ragbi. Pada 28 Februari 1965, beliau telah berkahwin dengan Zurina Kassim yang berasal dari Melaka. Mereka telah dikurniakan dengan tiga orang anak iaitu Mohd. Raznam, Lalla Nezha dan Rahadian Mahmud.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya, Mohd. Khalil telah berkhidmat di Kementerian Luar Negeri. Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Diplomat, beliau telah ditugaskan di beberapa negara seperti Itali, Maghribi, Singapura dan Indonesia.

Selepas menghabiskan masa selama 13 tahun di luar negara, Mohd. Khalil pulang ke Malaysia dan dilantik sebagai Pengurus Besar, Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ), Pahang. Pengalaman beliau semasa di luar negara telah membantu beliau untuk membawa pembangunan dan menyelesaikan pelbagai masalah rakyat dengan berkesan.

Semasa berkhidmat di Kedutaan Malaysia di Indonesia, Mohd. Khalil mengambil peluang untuk menghadiri kursus di Kolej Pertahanan Nasional (Lemhanas), Jakarta pada Tahun 1974. T.Y.T Tun juga telah dikurniakan dengan Ijazah (PHD Kehormat) dari University of Southern, Philippines pada tahun 1980 dalam bidang pentadbiran awam. T.Y.T Tun juga telah menerima PHD Kehormat dari The Oxford Centre of Leaderships, London pada tahun 2007. Pada tahun 2013 ini juga T.Y.T Tun telah dikurniakan dengan Anugerah Legendary Brand Icon Leadership Award 2013 oleh The Brandlaureate Malaysia.

Penglibatan beliau dalam politik bermula pada pilihanraya 1978 apabila beliau telah diberikan mandat untuk mewakili Barisan Nasional bagi Dewan Undangan (DUN) Bukit Ibam, yang membawa kemenangan besar.

Beliau telah memberikan komitmen yang tinggi sebagai Ahli Undangan Negeri Bukit Ibam dan telah membawa pembangunan yang besar bagi kawasan itu. Kecemerlangan beliau sebagai Wakil Rakyat telah melayakkan beliau untuk mewakili BN di kerusi Parlimen Maran untuk Pilihan Raya 1982 dan beliau telah menang.

Kemenangan itu telah melayakkan beliau untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran. Beliau juga adalah antara pelopor yang mengilhamkan penubuhan Universiti Utara Malaysia (UUM), universiti awam ke enam di Malaysia.

Pada 14 Julai 1984, beliau telah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bertanggungjawab untuk perkara-perkara berkaitan Perkhidmatan Awam dan Lembaga Urusan dan Tabung Haji.

Pada Pilihan raya 1986, Mohd. Khalil bertanding untuk DUN Bukit Tanjau dan memang. Pada 14 Ogos 1986 beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ke 13. Selepas 13 tahun di Pahang, iaitu pada 22 Mei 1999, beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar Pahang dan bertukar ke Kuala Lumpur dan dilantik sebagai Senator. Semasa Pilihan raya Umum ke-9, beliau bertanding untuk Parlimen Kuantan dan menang dengan majoriti 7,361 undi. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung UMNO.

Mohd. Khalil telah dianugerahkan dengan beberapa Pingat Kebesaran oleh Sultan Pahang iaitu Setia Mahkota Pahang (SMP), Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Dato’ Seri Indera Mahkota Pahang (SIMP) dan Seri Sultan Ahmad Shah (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Selain itu beliau turut dianugerahkan Pingat Darjah Johan Setia Mahkota (JSM) dan Panglima Setia Mahkota (PSM) yang memberi gelaran Tan Sri oleh Yang Di-Pertuan Agong. Pada tahun 2003, Yang di-Pertua Negeri Sabah menganugerahkan Pingat Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima manakala Sultan Kelantan pula telah berkenan menganugerahkan beliau Darjah Al-Ismail (SJMK). Beliau juga menerima Grand Cross of The Order of Merit – G.C.O.M (Germany). Pada 20 Julai 2004, Mohd. Khalil telah menerima anugerah Seri Maharaja Mangku Negara (SMN), yang memberi gelaran Tun, oleh Yang di-Pertuan Agong. T.Y.T Tun juga telah dikurniakan Darjah Seri Utama Sultan Mizan Zainal Abidin Yang Amat Terpilih (SUMZ) oleh KDYMM Sultan Terengganu dan Datuk Patinggi Bumi Kenyalang (D.P) dari T.Y.T Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Bersempena dengan pelantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka, Yang Ke 6, pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merasa bangga kerana Tuan Yang Terutama Tun Mohd Khalil bin Yaakob telah dilantik sebagai Canselor UTeM Ke 2 dalam Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Pertama Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia pada Tahun 2004 dan menjawat jawatan tersebut sehingga kini.
   

 

Save