Lambang Kuasa Universiti  - Keris  Panjang
Keris Panjang dikatakan sebagai kumpulan yang tertinggi kedudukannya dalam kumpulan keris.  Keris Panjang ini hanya dipakai oleh raja-raja atau pembesar-  pembesar istana. Jenis ini juga kadangkala dikenali sebagai Keris Bahari atau Keris Sumatera atau Keris Darjat atau Keris Melela atau Keris Sapukal yang ditentukan melalui mata, hulu dan sarungnya.  Mata jenis keris ini biasanya tirus dan lurus. Kadangkala keris jikalau sarungnya bersalutkan emas ia juga dikenali sebagai Keris Terapang atau Keris Terapang Gabus.
Mata Keris Panjang UTeM ini ditempa daripada besi waja dan dikatakan telah berusia lebih daripada 200 tahun berasal dari Pagar Ruyong, Sumatera dan terakhir ditemui di Pattani.
Hulu dan sarung keris ini diperbuat daripada kayu cengal bersalutkan perak dan emas putih dengan ukiran menyeluruh bunga kesidang (bunga rasmi UTeM).  Di atas sampirnya diterapkan dengan logo UTeM dan pada pangkal batang keris ditulis perkataan Universiti Teknikal Malaysia Melaka dalam khat Kufi, di hadapan sarung dan tulisan rumi di belakang sarung.  Hulu keris ini berbentuk tapak kuda dengan replika hiasan tertentu yang bernilai dan ukiran ayat Rabbi Zidni Ilma (Surah Thohaa: Ayat 114) yang bermaksud Ya Tuhanku, tambahkanlah  ilmuku melingkari hulu tersebut.  Di tengah sampir sarung depan juga terdapat ukiran Surah Al-Ala’ sebagai menyaksikan kesungguhan Universiti berhubung dengan ilmu pengetahuan.
Keris melambangkan kebesaran dan kekuasaan masyarakat Melayu yang sangat dimuliakan.  Di samping pengaruhnya yang kuat mendasari budaya dan adat resam Melayu, ia juga merupakan suatu lambang keindahan seni pertukangan Melayu yang dikagumi dan dihormati.
Keris Panjang sebagai lambang kuasa Universiti akan diperuntukkan untuk dipakai dan dibawa oleh Panglima semasa mengiringi Canselor pada Konvokesyen Universiti.

 

Save

Save

PENYELIDIKAN & INOVASI

Terokai Penyelidikan dan Inovasi bersama UTeM

Lanjut

Masukkan alamat email anda untuk langganan Aktiviti UTeM: